Gambar arkib NSTP. FOTO Asyraf Hamzah
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


“SAYA ada maklumat yang cukup untuk membuktikan bahawa PAS ada membayar kepada Clare,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penyelesaian luar mahkamah membabitkan PAS dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Menurutnya, beliau membaca seluruh prosiding dan keputusan mahkamah, yang dibangkitkan oleh Clare ialah dana UMNO kepada PAS.

“Kemudian dinafikan dan beliau disaman, kemudian dapat persetujuan bersama, tetapi Clare tetap kekal dengan laporan itu, tidak tarik balik, aneh ya.

“Saya banyak kes sivil ni, kalau kita (lakukan) penyelesaian kurang-kurangnya tarik balik ataupun maaf, kalau tak maaf pun dia padamkanlah (laporan itu).

“Oleh yang demikian, saya kurang yakin bahawa ada persetujuan untuk Clare menafikan atau membatalkan, tidak.

“Kemudian semalam, saya dapat maklumat tambahan sebab itu saya tanya soalan. Saya tidak fikir PAS boleh menafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, ketika ditanya mengenai dakwaan sama ada Clare dibayar bagi penyelesaian luar mahkamah, baru-baru ini.

Di Pulau Pinang semalam, Anwar mencabar kepimpinan PAS untuk mendedahkan kepada umum bayaran dibuat kepada Clare untuk bersetuju menyelesaikan kes samannya di luar mahkamah.

Anwar dilaporkan berkata, pendedahan kepada umum itu akan dapat mengelakkan rakyat daripada terus terkeliru dengan kenyataan bercanggah selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap wartawan terbabit awal bulan ini.

“Saya nak tanya ini (kerana) saya belum dapat kepastian apakah ada bayaran yang diberi kepada Clare dari PAS (supaya bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah). Lebih daripada sejuta (ringgit)? Boleh tak disahkan?” katanya seperti dipetik.

PAS semalam menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Clare bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 10:41 PM