Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my

DUA lelaki yang ditahan berkaitan kes pecah rumah sebenarnya menjalankan aktiviti jenayah lebih besar iaitu pemalsuan wang.

Kegiatan dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah pemalsuan wang itu tumpas selepas mereka dicekup polis di Bemban, Jasin, 15 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun ditangkap berkaitan kes pecah rumah namun siasatan mendapati mereka aktif dalam pemalsuan wang.

Beliau berkata, susulan laporan diterima berkaitan kejadian pecah rumah di Taman Kesang Damai membabitkan kerugian RM1,400, polis kemudian menahan suspek pada hari sama.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek adalah individu yang diburu polis sejak 2017 membabitkan kegiatan pemalsuan wang.

“Suspek ini didakwa mensasarkan penduduk kampung dan mereka yang berusia dengan tawaran penukaran tiga keping wang kertas RM100 berjumlah RM300 kepada RM100 wang asli tanpa disedari mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Beliau berkata, suspek juga bertindak cuba memasukkan wang palsu itu ke dalam mesin deposit tunai.

“Hasil semakan lampau mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain turut didapati positif dadah.

“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun sama,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Arshad berkata, empat lelaki berusia antara 44 hingga 53 tahun ditahan membabitkan kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1956.

“Semua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan iaitu tiga pada 16 Februari di Kampung Gaung dan seorang lagi pada pada 25 Februari di Kampung Ulu Duyong.

“Rampasan membabitkan 85 gram heroin, dua gram syabu dan 15.3 gram morfin yang semuanya bernilai RM3,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:49 PM
Arshad (kiri) menunjukkan gambar dadah dan wang palsu yang dirampas polis. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Skip this ad x