Arshad menunjukkan suspek yang dikehendaki polis berhubung kes samun. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my

KETUA kumpulan Vickey menjadi buruan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata membabitkan kerugian RM40,000 di Jasin dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku 3 petang 13 Februari lalu.

Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun bersama seorang lagi rakan kumpulannya bertindak menyamun kerani kewangan sebuah premis pengurusan kelapa sawit di Bemban dekat sini.

Beliau berkata, sebelum kejadian, kerani wanita yang berusia 40-an itu, baru sejam mengeluarkan wang RM50,000 dan menggunakan RM10,000 untuk menjelaskan hutang.

“Ketika berada di pejabatnya, mangsa didatangi dua lelaki memakai topi keledar dan seorang daripadanya bersenjatakan parang panjang memintanya menyerahkan wang itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari kejadian sebelum polis menyiasat dan menahan rakan suspek berusia 27 tahun enam hari kemudian 2.30 petang di Tanjung Minyak.

Arshad berkata, soal siasat mendapati, suspek berusia 26 tahun yang masih bebas itu adalah dalang utama kes samun berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya giat mengesan ketua kumpulan Vickey iaitu G Viknaeswaran, 26, beralamat di Taman Desa Pajak, Jasin yang dipercayai masih berada di negeri itu.

“Hasil tangkapan ke atas suspek, polis berjaya menemui RM3,000 yang didakwa baki wang samun manakala selebihnya ada pada ‘Vickey’.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:59 PM