Mohad Idris (kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah daripada dua lelaki. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria
am@hmetro.com.my


SOROK dalam plastik makanan haiwan. Itu tindakan terdesak tokan dadah bagi mengaburi aktiviti haram mengedar pelbagai dadah 13.323 kilogram bernilai RM280,212 daripada dikesan polis.

Kegiatan didalangi dua lelaki tempatan berusia 35 dan 36 tahun itu terbongkar selepas barang terbabit ditemui dalam dua kenderaan jenis Toyota Altis dan Nissan Almera di kediaman mereka di Jalan Sialang, Tangkak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, hasil risikan serbuan dilakukan 10.10 malam oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

“Dengan kerjasama BSJ Narkotik IPD Muar serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di taman perumahan di Jalan Sialang dan terdapat dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 36 tahun berada di rumah terbabit.

“Bagaimanapun, pemeriksaan tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang sebelum dua kereta, Toyota Altis dan Nissan Almera diperiksa dan menemui pelbagai jenis dadah,” katanya di IPD Tangkak hari ini.

Beliau berkata, dadah terbabit dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan dan wang tunai dipercayai hasil jualan dadah RM3,449 turut ditemui.

“Antara dadah yang dirampas ialah heroin 9.3607 kg; syabu (1.4623 kg); kafein (0.9656 kg); pil ekstasi (670 biji) dan pil eramin 5 4,200 biji yang semuanya seberat 13.323 kilogram,” katanya.

Mohad Idris berkata, pihaknya juga menahan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine.

“Pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan seorang daripadanya memiliki satu rekod berkaitan jenayah,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman seminggu sehingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Polis percaya dadah ini adalah untuk pasaran tempatan iaitu Tangkak, Muar dan tempat lain yang ada pusat hiburan.

“Selain itu, ia juga rampasan dadah pertama menggunakan pek makanan haiwan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:26 PM