LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


TEMPOH reman terhadap seorang penoreh getah yang mendera anak tirinya sehingga maut minggu lalu disambung tujuh hari lagi.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Azizah Ahmad di Mahkamah Majistret Rompin, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, turut disambung reman adalah isteri suspek yang juga ibu kandung mangsa.

“Perintah reman kedua-dua suspek sepatutnya berakhir hari ini dan kita memohon ia dilanjutkan sehingga 6 Mac depan.

“Ia bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada pihak pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian pada 20 Februari lalu, mangsa, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan selepas dibawa ibu dan bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera iaitu kesan lebam di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah dan lebam mata kanan selain luka-luka kecil.

Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan limpa pecah dan kecederaan berganda di kepala.

Sehubungan itu, bapa tiri dan ibu mangsa yang masing-masing berusia 54 dan 25 tahun ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

''Saya cukup bimbang kes pembunuhan kanak-kanak' - Agong [METROTV]'

'[UPDATE] Limpa mangsa dera pecah'

'Terkilan hanya jumpa jenazah anak saudara [METROTV]'

'[UPDATE] Suspek dera anak tiri jarang bergaul'

'Budak didera sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 4:17 PM