Mohammad (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota APMM Zon Maritim Batu Pahat menunjukkan bungkusan mengandungi labi-labi (gambar kecil). FOTO Ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat menahan dua individu dalam operasi di Tanjung Tohor, Muar dan merampas 3,300 labi-labi bernilai RM150,000 yang cuba diseludup ke negeri ini, tengah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan bersama Pasukan Gerakan Batalion 6 dan Pos Parit Unas ke atas sebuah bot yang dikesan dalam keadaan mencurigakan pada 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berhampiran Tanjung Tohor mendapati ada tujuh bungkusan mengandungi 3,300 labi-labi.

“Haiwan eksotik itu dipercayai cuba dibawa masuk untuk dipasarkan di negara ini, terutama di restoran menyediakan hidangan eksotik seperti itu,” katanya kepada wartawan Harian Metro ketika mengesahkan mengenai rampasan itu.

Mohammad berkata, dua lelaki ditahan bersama haiwan itu berusia 30 dan 50 tahun dengan kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia serius dalam usaha membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“Justeru, kami mengharapkan orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Sebarang aduan dan kecemasan boleh menghubungi talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:34 PM