PENGEDAR dan penagih dadah yang ditangkap (Gambar kecil) Dadah yang ditemui. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


TAKTIK pengedar dan penagih dadah yang menjadikan kandang kambing sebagai tempat melepas gian terbongkar apabila 16 suspek termasuk seorang janda ditahan dalam serbuan di FELDA Palong 2, Jempol, semalam.

Difahamkan, taktik itu bagi mengelak kegiatan mereka dikesan polis selepas ladang kelapa sawit yang sebelum ini sering dijadikan tempat penagihan dadah kerap diserbu polis.

Bagaimanapun, taktik mereka itu tidak menjadi kerana hasil bantuan orang ramai dan risikan polis, ia tetap dapat dikesan dalam operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, kira-kira 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki disyaki pengedar yang sedang menunggu penagih di kandang kosong itu.

“Lelaki berusia 29 tahun itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis tetapi berjaya ditahan. Pemeriksaan menemui dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan seberat 16.9 gram.

“Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun juga disyaki tokan di lokasi sama dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.5 gram,” katanya hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, berdasarkan maklumat, penagih akan ke kandang berkenaan untuk melepaskan gian menyebabkan polis bersembunyi dan menunggu lebih satu jam.

“Hasilnya, seramai 13 lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati mereka menjadikan kandang kambing yang terletak berhampiran ladang kelapa sawit di felda berkenaan sebagai tempat menghisap dadah sejak sebulan lalu, manakala tokan mendapat bekalan dari Segamat, Johor.

Beliau berkata, semua suspek positif dadah direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) serta Seksyen 15 (1) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 2:55 PM