Azalea Hani yang melecur di seluruh badan akibat terkena sambal popia basah yang mendidih. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan yang melecur seluruh badan akibat tersimbah sambal popia basah di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, 7 Febuari lalu, menjalani satu lagi pembedahan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Azalea Hani Abdul Rahim, 5, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan melecur yang parah.

Ibu mangsa, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, berkata, Azalea menjalani pembedahan di bahagian kaki kirinya, semalam.

“Alhamdullilah, semua berjalan lancar termasuk pembedahan yang dijalankan di bahagian kaki kiri Azalea, semalam.

“Cuma kami perlu tunggu dua minggu lagi untuk lihat sama ada sel kulit Azalea boleh kembali pulih atau tidak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zalida berkata, Azalea kini sudah dipindahkan ke wad Unit Khas Kebakaran hospital terbabit.

“Keadaan Azalea masih kritikal, namun stabil. Dia kini sudah sedar dan pihak doktor sudah memberi ubat bagi menahan sakit di badannya. Kebanyakan masa dia tidur saja.

“Kami sekeluarga harus kuat untuk menerima apa pun yang terjadi demi Azalea. Saya berharap semua pihak turut sama mendoakan kesihatan Azalea supaya kembali sembuh,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Azalea selamat menjalani pembedahan hampir lima jam, Jumaat lalu.

Kos perubatan Azalea ditampung oleh Hospital Sungai Buloh dan Lembaga Zakat Selangor sepanjang dia dirawat di hospital berkenaan sejak hampir tiga minggu lalu.

Berita berkaitan

  • Hasil pembedahan Azalea diketahui Selasa ini
  • Azalea selamat jalani pembedahan
  • [UPDATE] 'Alhamdulillah...terima kasih semua'
  • Melecur 'bermandikan' sambal popia mendidih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 2:22 PM