FERI milik Dragon Star Shipping di Terminal Feri Langkawi yang digantung perkhidmatan selepas satu daripada feri milik syarikat itu terbakar. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah mendedahkan tiada pengusaha feri penumpang pernah tampil untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai prosedur menyelamat atau memadam kebakaran di dalam pengangkutan berkenaan.

Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, kolaborasi antara pihak bomba bersama pengusaha bot termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sangat penting bagi memastikan kru feri serta anggota agensi terbabit dapat mengambil langkah awal memadam dan menyelamat.

"Selama lebih setahun saya bertugas di Kedah, saya difahamkan sudah empat kali kejadian feri terbakar. Walaupun kebakaran sebelum ini adalah kecil, tetapi apa yang berlaku kelmarin memberi petunjuk bahawa adalah sangat penting kru dan anggota agensi terbabit dilengkapi dengan ilmu memadam kebakaran dan menyelamat.

"Malah saya turut difahamkan usaha pemadaman kebakaran sebelum ini dibantu oleh bot berdekatan, mereka dapat memberi bantuan dengan pantas kerana ia berlaku berdekatan dengan jeti tetapi bayangkan kejadian itu di tengah laut, apa tindakan yang sepatutnya mereka lakukan jika bot lain lambat sampai," katanya, hari ini.

Mohd Zahar berkata, walaupun had kuasa bomba hanyalah sekitar 30 meter dari persisiran pantai dan selebihnya adalah di bawah JLM dan APMM, namun atas dasar kemanusiaan pihaknya turut membantu memadam kebakaran di feri terbabit.

Katanya, pihak bomba juga difahamkan agensi terbabit tidak mempunyai kelengkapan lengkap memadam kebakaran.

"Jadi kalau JLM dan APMM serta pengusaha feri penumpang mahu dapatkan khidmat nasihat dan latihan bersama, kita alu-alukan, bukan setakat cara memadam dan menyelamat tetapi kita juga akan memberi khidmat nasihat mengenai kelengkapan menyelamat contohnya jaket keselamatan untuk penumpang. Ia sebenarnya hanya boleh disimpan untuk tempoh tertentu sahaja kerana ada tarikh luputnya.

"Selain itu, bomba juga boleh memberi pendedahan berdasarkan pengalaman menyiasat punca berlakunya kebakaran sebagai contoh sebuah kebakaran bot boleh berlaku apabila enjin terlalu panas... Dalam bilik enjin terlalu banyak logam yang boleh mencetuskan api.

"Begitu juga jika ia berkemungkinan berpunca dari tandas atau sebagainya, pendawaian elektrik serta mentol lampu juga boleh menjadi punca berlakunya kebakaran, apa yang penting kru perlu sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan melakukan pemeriksaan lebih kerap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 10:53 AM