SHAMSUL Izrin (kanan) melawat dan membantu menguruskan Abdul Ghani untuk dibawa ke Hospital Baling menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, semalam. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


LELAKI warga emas yang tinggal bersendirian di rumah usang di Kampung Tok Kaya, Pulai, Baling disahkan sebagai penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, Abdul Ghani Abdul Rahman, 78, yang lebih mesra dipanggil ‘Tok Wan’ menerima bantuan bulanan berjumlah RM350 sebulan melalui Bantuan Orang Tua (BOT).

Beliau berkata, Abdul Ghani sebelum ini tinggal di Kuala Ketil bersama anak bongsu, Jamsiah Abdul Ghani, 50, namun enggan tinggal bersama mereka lagi kerana beranggapan lebih senang tinggal bersendirian di rumah usang milik keluarganya di Kampung Tok Kaya.

“Dalam usia emas sepatutnya dia tinggal tetap di satu tempat teratur bersama anaknya supaya lebih terjaga.

“Kami bimbang berlaku kejadian tidak diingini apabila beliau keseorangan, malah tempat tinggal sekarang tidak selamat dan berjauhan daripada rumah jiran,” katanya.

Shamsul Izrin membuat lawatan ke rumah Tok Wan, semalam selepas kisahnya disiarkan di portal berita Harian Metro, Jumaat lalu.

Beliau berkata, Abdul Ghani dibawa ke Hospital Baling bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan fizikal, malah dia lama tidak ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dua, bulan lalu.

“Kami tidak boleh biarkan Tok Wan hidup bersendirian dan tidak terurus.

“Sampai bila dia hendak hidup bersendirian dan tinggal secara tidak tetap kerana ia akan mengundang persepsi negatif daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, anaknya perlu mengambil iktibar dalam menjaga orang tua mereka yang semakin dimamah usia dengan baik.

Berita berkaitan

'Sudah takdirku hidup sendirian...[METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 10:00 PM