Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Zain Ahmed.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah menolak penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah bagi mengelak kekeliruan, perbalahan dan perpecahan umat Islam di negeri ini.

Perkara itu dikongsi melalui menerusi entri terbaharu di Facebook (FB) rasmi Baginda dengan titah bertajuk ‘Elakkan Kekeliruan dan Perbalahan Dalam Agama Islam’ dikongsi sebentar tadi.

Baginda bertitah, cadangan penubuhan universiti itu bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di negeri Johor Darul Ta’zim.

Baginda bertitah menerima makluman menerusi media massa bahawa Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik menyatakan sokongan terhadap penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah yang ditubuhkan gerakan Muhammadiyah Indonesia di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

“Saya ingin menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Negeri.

“Manakala Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 memperuntukkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Johor,” titah baginda.

Baginda bertitah, bagi melancarkan pentadbiran agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 sudah diwujudkan.

“Enakmen ini memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai Pihak Berkuasa Utama agama Islam selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor adalah sebagai jawatankuasa yang memutuskan hal-hal berkaitan Hukum Syarak,” titahnya.

Sultan Johor bertitah, negeri Johor Darul Ta’zim mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad yang berprinsipkan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.

“Justeru, negeri Johor Darul Ta’zim tidak mempunyai sebarang keperluan untuk membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baharu dari luar.

“Bagaimanapun, negeri Johor Darul Ta’zim tetap menerima dan mengalu-alukan penubuhan cawangan mana-mana universiti dari luar negara yang ingin dibina di negeri Johor Darul Ta’zim demi perkembangan ilmu dan limpahan manfaat yang akan dikecapi oleh rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya,” titah baginda.

Titah baginda, namun sekiranya membabitkan kursus pengajian dan perkara yang berhubungkait dengan agama Islam, pihak berkenaan hendaklah merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan seterusnya mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor selaku Ketua Agama Islam negeri Johor Darul Ta’zim.

“Ketetapan ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini terutama dalam perkara yang tidak selari dengan pegangan aqidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.

“Walaupun mungkin cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini kelak tidak menyediakan pengajian agama Islam secara spesifik, namun adalah menjadi satu pegangan kepada seluruh warga Muhammadiyah pada setiap masa berpegang, beramal dan menyebarkan doktrin Muhammadiyah selari dengan ketetapan badan tertinggi dalam gerakan Muhammadiyah,” titah baginda.

Baginda bertitah, mendapati fatwa yang dikeluarkan oleh Muhammadiyah adalah bercanggah dengan dengan fatwa di negeri Johor.

“Antaranya dari segi akidah, Muhammadiyah berpegang kepada pegangan Allah SWT berjisim dan bertempat dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis bersifat mutasyabihat (kesamaran).

“Walhal, pegangan akidah umat Islam di negeri Johor adalah berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang menafikan Allah SWT berjisim dan bertempat,” titah baginda.

Titah baginda dari segi amal ibadah, kaedah pengambilan hukum di Negeri Johor Darul Ta’zim adalah berlandaskan Mazhab Syafie, manakala pegangan Muhammadiyah tidak terikat kepada mana-mana Mazhab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:03 PM