PENGUATKUASA JAT memotong sambungan paip haram di sebuah rumah di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu, Tawau, hari ini. FOTO ihsan JAT.
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


AKIBAT membuat penyambungan paip haram, pemilik rumah persendirian dikompaun RM10,000 oleh Jabatan Air Tawau (JAT) menerusi Ops Cegah di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu, Tawau, hari ini.

Operasi pada 1.50 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa JAT susulan aduan dan maklumat berkaitan kegiatan curi air di kawasan berkenaan.

Jurutera JAT, Asabri Robensen, berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat satu penyambungan haram daripada paip utama disambungkan terus ke rumah terbabit.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa kemudian melakukan pemotongan ke atas sambungan haram itu.

“Pemilik rumah didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, iaitu membuat penyambungan haram.

“Selain kompaun, mana-mana individu gagal mematuhi undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 akan berdepan denda berat jika didapati melakukan kesalahan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Asabri menasihatkan orang ramai termasuk syarikat yang dikompaun sebelum ini agar menjelaskan bayaran segera bagi mengelak tindakan mahkamah yang akan menyukarkan lagi proses membuat penyambungan meter baharu.

Beliau berkata, JAT memohon kerjasama orang ramai supaya membuat laporan atau menyalurkan maklumat berkaitan kes kecurian atau kebocoran paip air dengan menghubungi talian JAT di 0195354600 atau 089- 761057.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:50 PM