MUSA Aman ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Disember lalu. FOTO Saddam Yusoff
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, menetapkan 5 Mac depan bagi pengurusan kes lanjutan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang didakwa atas 35 pertuduhan rasuah berjumlah AS$63.3 juta (RM263 juta) berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Pengurusan kes berkenaan adalah berhubung penyerahan dokumen lengkap daripada pihak pembelaan kepada pendakwaan.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Peguam Amir Hamzah Arshad.

Terdahulu, Raja Rozela memberitahu mahkamah pihaknya belum dapat melengkapkan dokumen berhubung kes berkenaan.

“Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan pada bila-bila masa.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan memerlukan dokumen tambahan sepanjang proses perbicaraan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hakim Rozina sama ada dokumen berhubung perbicaraan sudah lengkap atau sebaliknya.

Dalam prosiding hari ini juga, pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen berhubung kes berkenaan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada awal prosiding, Hakim Rozina turut menegur dan menasihatkan pihak pembelaan dan pendakwaan supaya berkomunikasi dengan lebih profesional berhubung kes ini.

“Kedua belah pihak mengambil masa terlalu lama iaitu sudah tiga bulan sejak kes Musa ini didaftarkan pada November lalu dan kini sudah di penghujung Februari.

“Tidak kisahlah sama ada jika kes ini didengar di Mahkamah Tinggi atau Sesyen. Kedua-dua belah pihak perlu berkomunikasi dan lebih profesional dan serius dalam mengendalikan kes ini supaya tiada lagi penangguhan berlaku disebabkan perkara kecil,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan dilanjutkan terhadap Musa.

Pada 5 November 2018, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:16 PM