Gambar hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


BERANG dengan campur tangan urusan perceraian dengan suaminya, seorang wanita menetak kakak iparnya menggunakan parang di Balai Raya Kampung Talantang 2, Kota Marudu, semalam.

Dalam kejadian 11.04 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun bekerja sebagai petani patah lengan kanan, selain luka pada siku.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, ketika kejadian, suspek berusia 50 tahun yang baru balik dari kebun getahnya bertengkar dengan kakak iparnya di balai raya berkenaan.

“Berlaku pertengkaran mulut di antara mereka. Suspek yang dalam keadaan marah mengeluarkan sebilah parang lalu melibasnya ke arah mangsa sebanyak dua kali.

“Mangsa cuba menghalang libasan itu menggunakan tangan kiri sehingga luka pada siku dan lengan kirinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, mangsa kemudian dihantar ke Klinik Tandek sebelum dirujuk ke Hospital Kota Marudu dan dirawat sebagai pesakit luar.

Dalam masa sama, katanya, bertindak atas laporan mengenai kejadian itu, suspek ditahan pada hari yang sama.

“Hasil siasatan, suspek yang juga adik ipar kepada mangsa didapati tidak puas hati kerana mangsa sering mengganggu proses perceraian suspek dengan suaminya.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan parang yang digunakan ketika kejadian turut dirampas,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan parang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:06 PM