Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BAYI perempuan disyaki menjadi mangsa dera ketika berada di rumah pengasuhnya di Pangsapuri Ampang Jajar, Mak Mandin, Butterworth Sabtu lalu.

Kejadian disedari ibunya jam 1 tengah hari selepas wanita berusia 23 tahun itu mendapati ada kesan lebam di belakang badan bayinya yang berusia setahun lapan bulan selain mangsa juga muntah dan mengalami kencing tidak lawas ketika berada di rumah mereka di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Sumber berkata, wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai makan pada mulanya menghantar bayinya itu di rumah pengasuh Khamis, minggu lalu.

“Bagaimanapun, dia yang mengambil anaknya pulang ke rumah dua hari kemudian terkejut apabila melihat belakang badan mangsa merah selain bayinya muntah dan kencing tidak lawas.

“Ibu mangsa cuba menghubungi pengasuh terbabit melalui panggilan telefon serta kiriman WhatsApp untuk bertanya apa yang berlaku, namun dia terkejut apabila mendapati talian telefon bimbitnya sudah disekat,” katanya.

Sumber berkata, wanita itu kemudian membawa bayinya mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan doktor kemudian menasihatinya membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi itu mungkin didera.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati belakang badan bayi itu ada kesan berbirat kemungkinan dipukul dengan penyangkut baju, siku kiri lebam dan luka di paha kanan.

“Bayi berkenaan terpaksa dimasukkan ke wad untuk pemantauan dan pemeriksaan susulan dan wanita itu sudah membuat laporan polis,” katanya.

Menurut sumber, hasil keterangan daripada ibu mangsa dia mendakwa kali terakhir menghantar bayinya kepada pengasuh terbabit jam 4petang Khamis minggu lalu.

“Wanita itu memberitahu, selain mangsa, dia turut menghantar anak perempuannya berusia tiga tahun kepada pengasuh terbabit kerana harga yang dikenakan murah iaitu hanya RM300 untuk mengasuh kedua-dua anaknya itu.

“Dia juga mendakwa sudah memberitahu pengasuh terbabit yang dia tidak mengambil dua anaknya itu kerana terlalu penat bekerja,” katanya.

Menurutnya, wanita itu juga memberitahu dia sudah menghantar kedua-dua anaknya itu kepada pengasuh terbabit sejak Februari lalu dan pernah juga meninggalkan mereka beberapa hari kerana penat bekerja.

“Setakat ini, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan masih memburu suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 2:33 PM