Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


BELI dadah percuma pistol. Itu pakej ditawarkan pembekal dadah dari negara jiran kepada pengedar dadah di Kelantan.

Perkara itu terbongkar hasil serbuan di sebuah rumah di belakang sebuah sekolah di Kok Lanas, Kota Bharu semalam.

Dalam operasi 12.10 tengah malam itu, empat lelaki berusia 24 hingga 53 tahun terdiri penternak lembu, kontraktor dan buruh ditahan bersama 290 botol dadah heroin 1.6 kilogram (kg) dan syabu 2.7 kg bernilai RM71,980.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di sini sebelum menahan empat lelaki selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki syabu dan satu rangkai kunci di atas lantai di bahagian ruang tamu tingkat atas.

“Siasatan lanjut terhadap salah seorang suspek, pada 12.50 tengah malam, polis dibawa ke sebuah lagi rumah di kawasan taman sama dan menjumpai beberapa bungkusan berisi heroin, syabu dan sepucuk pistol Revolver dalam almari kayu.

“Kita turut merampas dan menyita harta termasuk kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire, kereta BMW dan motosikal Yamaha Nouvo yang keseluruhan bernilai RM360,700,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan, suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada pembekal dari Thailand di kawasan pangkalan haram Pohon Jambu untuk pasaran Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang dan Terengganu.

“Kita difahamkan senjata api diberi secara percuma untuk kegunaan peribadi. Bagaimanapun tiada peluru ditemui,” katanya.

Hasanuddin berkata, semua suspek yang positif methamphetamie memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 2:24 PM
Hasanuddin (tengah) menunjukkan dadah dan pistol yang dirampas semalam. FOTO Zaman Huri Isa