KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian 72,000 pil yaba dianggarkan bernilai RM1.08 juta yang dirampas di hadapan stesen minyak di Rantau Panjang, Ahad lalu pada sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PIHAK berkuasa berjaya merampas 72,000 pil yaba dianggarkan bernilai RM1.08 juta di hadapan stesen minyak di Rantau Panjang, Ahad lalu.

Dalam operasi 8.30 malam, dadah seberat 8.4 kilogram (kg) itu ditemui bersama lelaki berusia 33 tahun di dalam kereta Honda City.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Rantau Panjang menahan kereta yang dipandu lelaki.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu, menemukan beg galas di atas lantai tempat duduk penumpang yang mengandungi pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil yaba.

“Lelaki yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta di pangkalan haram di Rantau Panjang itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ini adalah rampasan terbesar yang diperoleh sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang wanita Thailand yang ditinggal di Rantau Panjang.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah Orang Sekatan bagi kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan Balai Polis Rantau Panjang.

“Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:49 PM