MUHAMMAD Farid (dua kanan) dan Yuliani (kiri) diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KESALAHAN dilakukan hanya kecil. Tidak mahu menyapu lantai rumah, selain dianggap degil menyebabkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun didera ibu dan bapa tirinya sejak tahun lalu.

Malah mangsa dipukul dengan menggunakan penyangkut pakaian berkali-kali di bahagian dapur rumah kerana mangsa tidak mencuci pinggan dan menyidai pakaian.

Paling menyedihkan apabila bapa tirinya, Muhammad Farid Rosli, 29, yang juga pemandu bas di Singapura memukul bahagian belakang mangsa dengan menggunakan rotan hingga baju yang dipakai mangsa mempunyai kesan darah.

Itu antara fakta kes dibentangkan pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini terhadap pasangan suami isteri yang mengaku salah mendera anak lelaki mereka berusia 12 tahun hingga mengalami kecederaan fizikal di Pangsapuri Desa Melayu, dari tahun lalu hingga 18 Februari lalu.

Fakta kes itu mendedakan kejadian dera membabitkan kanak-kanak itu terbongkar selepas penduduk di Mutiara Rini, Johor Bahru menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp berhubung satu kes penganiayaan.

Mesej disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Desa Melayu itu kemudian dirujuk sebagai aduan penganiayaan kanak-kanak berusia 12 tahun dan tiga bulan.

“Bertindak pada maklumat itu, pada 19 Februari lalu, 12 tengah hari, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan membuat pemeriksaan fizikal sebelum mendapati terdapat kecederaan pada badan mangsa.

“Kedua-dua tertuduh ditangkap pada hari sama pada 1 tengah hari dan tertuduh yang memandu arah polis dengan menunjukkan peralatan digunakan ketika mendera mangsa iaitu penyangkut pakaian berukuran 40 sentimeter dan rotan sepanjang 70 sm,” katanya.

Fakta itu menyatakan, mangsa yang juga anak tiri kepada suspek pertama tidak pernah bersekolah dan mula dipukul tertuduh sejak berusia 10 tahun.

“Tertuduh beberapa kali memukul mangsa dengan menggunakan rotan pada bahagian beakang dan badan mangsa.

“Sekitar tahun 2017, selain bahagian badan, tertuduh pernah merotan mangsa dengan menggunakan rotan warna coklat pada tangan mangsa hanya tidak mahu menyapu lantai dan dikatakan degil,” kandungan fakta kes itu.

Mangsa juga tidak berani menjerit kerana akan dirotan lagi sekiranya menjerit.

“Setiap kali mangsa dirotan, ibunya yang juga tertuduh kedua hanya melihat mangsa dirotan dan akan turut memarahi mangsa.

“Mangsa juga tidak pernah dibawa ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mangsa yang dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) disahkan mengalami kesan luka pada bahagian paha, kedua-dua tangan, punggung.

“Selain itu terdapat parut lama dan baru serta luka kesan seperti dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian belakang dan hadapan badannya.

“Doktor mengesahkan kecederaan pada badan mangsa boleh disebabkan rotan dan penyangkut baju,” katanya menerusi fakta kes.

Berita berkaitan:

  • Menangis mengaku salah dera anak
  • 2 tahun didera ibu, bapa tiri
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:13 PM