BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


LEMBAGA Tabung Haji (TH) kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan tidak berubah dengan pengenalan syarikat tujuan khas (SPV) seperti yang sudah dipersetujui Kabinet.

Susulan itu, dakwaan dan tuduhan mengatakan TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

“TH dilemparkan dakwaan dan tuduhan iaitu bidang kuasa TH dipindahkan daripada JPM kepada Kementerian Kewangan.

“Ini selepas keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan TH kepada SPV milik kerajaan.

“Pemindahan aset berkenaan kepada SPV ialah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi itu selepas berlakunya salah laku secara besar-besaran,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

“BNM sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara, termasuk institusi kewangan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 8:14 PM