PEMBANTU Penguatkuasa SWCorp Negeri Sembilan, Mohd Azrul Nizam (kanan) dan Shuhaib Mustafa memeriksa jenis sisa plastik import yang dikitar semula secara haram. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SEBANYAK 139 kilang kitar semula sisa plastik diarah tutup oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, sejak Januari lalu.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 108 premis dikesan menjalankan operasi secara haram manakala selebihnya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan.

“Kita memeriksa sebanyak 273 kilang kitar semula sisa plastik di seluruh negara dan daripada jumlah itu, kita menutup dan menahan operasi 139 kilang yang didapati beroperasi tanpa lesen sah serta tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Pengusaha kilang dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk menyebabkan pencemaran air, bunyi dan udara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Khas Bersepadu di tiga kilang di Kawasan Perindustrian Senawang, Negeri Sembilan, hari ini.

Mengulas lanjut, Yeo berkata, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka dengan empat pengusaha kilang dijatuhi hukuman penjara sehari dan saman berjumlah RM389,000.

Malah, katanya, sebanyak 44 kilang lagi masih dalam siasatan lanjut dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Menurutnya, kementerian sedang melihat keperluan untuk menambah baik dan menggubal undang-undang baharu bertujuan memperketatkan penguatkuasaan terhadap operasi kilang.

“Ada pihak yang minta akta, polisi dan undang-udang sedia ada dibuat baru tetapi bagi saya jika dapat kuatkuasakan yang sedia ada, sudah cukup baik. “Bagaimanapun ketika ini kita memang dalam proses untuk menambah baik akta sedia ada,” katanya.

Yeo berkata, kerajaan turut mengharamkan kemasukan sisa plastik untuk kitar semula sejak Julai tahun lalu, namun terdapat 750,000 tan metrik sisa plastik yang sudah masuk ke negara ini sejak 2017.

“Kita kini sedang giat menjalankan operasi bagi menghapuskan sisa plastik dan mengatasi masalah pencemaran.

“Operasi akan turut dijalankan di pelabuhan walaupun akan berdepan pelbagai cabaran dan saya menjangkakan pertengahan tahun ini semua sisa ini akan dapat dilupuskan sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 4:17 PM