DUA lelaki warga emas berusia 78 dan 77 tahun antara lapan individu diberkas polis di dalam bangunan rumah kedai yang dijadikan 'kasino mini' di Jalan Melor, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


DUA lelaki warga emas berusia 78 dan 77 tahun antara lapan individu diberkas polis di dalam bangunan rumah kedai yang dijadikan ‘kasino mini’ di Jalan Melor, Bukit Mertajam, 5.55 petang semalam.

Dalam serbuan itu, lapan individu termasuk seorang perempuan, berusia 40 hingga 78 berkenaan ditahan kerana menjadikan rumah kedai itu sebagai tempat berjudi sejak beberapa bulan lalu sebelum dikesan polis.

Ketua Polis Daereah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua mereka termasuk pemilik premis ditahan ketika sedang leka bermain judi dikenali ‘Gin Rummy’ di dua meja di dalam kedai itu.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) itu, seorang suspek berada di kaunter kedai manakala tujuh lagi sedang bermain judi di meja masing-masing dan tidak menyedari kehadiran polis.

“Susulan pemeriksaan yang dilakukan polis menemui wang tunai RM2,340 dipercayai dijadikan pertaruhan dan beberapa barangan lain digunakan untuk berjudi.

“Polis kemudian menahan kesemua mereka dan dibawa ke IPDSPT bagi tindakan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 12:31 PM
Skip this ad x