MOHD Shukri berucap di Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ADUN Negeri Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Fitri Nizam

SURUHANJAYA Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1Malaysian Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

"Siasatan SPRM setakat ini... setakat ini saya kata... memang tak mendapati bahawa berlakunya kemasukan RM90 juta yang dikatakan dari 1MDB ke dalam akaun PAS... OK dah cukup," katanya.

Bagaimanapun, difahamkan, siasatan berhubung kes itu masih lagi diteruskan namun kini terarah kepada akaun peribadi beberapa individu lain termasuk pemimpin PAS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turut menandatangani ikrar berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, hadir di pejabat SPRM Kelantan pada 8 Februari lalu untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes PAS didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok ialah antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS didakwa menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

Terbaharu, Selasa lalu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, memberi keterangan hampir dua jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Kota Bharu, Kelantan, berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:19 AM