Cermin kedai di tingakt atas dipecahkan, manakala hadapan kedai ditabur sampah akibat perbuatan khianat lelaki berusia 47 tahun. FOTO Ihsan Polis
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki ditahan selepas didapati melakukan perbuatan khianat memecahkan cermin kedai alat ganti serta melonggok sampah sarap di hadapan kedai itu di Taman Karangan, Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 6 pagi disedari pekerja kedai berkenaan selepas mengesyaki kedai terbabit sudah dipecah masuk.

Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan, pekerja terbabit mendapati cermin depan kedai pecah akibat dibaling batu dan sampah sarap dilonggokkan di depan kedai dan dia kemudian membuat laporan polis.

“Susulan itu, berdasarkan maklumat orang awam yang ternampak lelaki berusia berusia 47 tahun melakukan perbuatan berkenaan, polis berjaya mengesan suspek di hadapan rumahnya di Taman Kenangan, Kulim, 1.30 petang kemudian memberkasnya.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahmad Nasir berkata, suspek sering dilihat di kedai berkenaan dan ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 3(1) dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

#kw baling batu, longgok sampah, jenayah

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 1:31 AM