GAMBAR hiasan
BERNAMA

SEORANG pelajar yang cuba menyelamatkan tiga rakan sekampung yang hanyut di dalam perahu di Sungai Kanowit, dikhuatiri lemas apabila hilang dibawa arus deras dalam kejadian tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik ketika dihubungi berkata, mangsa dikenali sebagai Carlos Paee, 15, adalah anggota Kadet Bomba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian itu di Bukung Jagoi, jam 1.47 tengah hari.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dan rakannya ternampak tiga rakan sekampung berada di dalam perahu menyeberangi sungai untuk memetik rambai.

Bagaimanapun, perahu dinaiki dihanyutkan arus deras kerana mereka tidak pandai mendayung.

Beliau berkata, mangsa dan rakannya kemudian terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu untuk membantu dua rakan lelaki dan seorang perempuan sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

“Rakan mangsa sempat berenang ke tebing manakala mangsa terus tenggelam, manakala tiga rakan mereka yang berada di dalam perahu diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan balik dari hilir sungai,” jelasnya.

Operasi SAR disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Kanowit, Polis Kanowit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dihentikan pada 6 petang dan akan bersambung pagi esok.

Arrahman berkata, mangsa baru selesai mengikuti Pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru yang berakhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 10:21 PM