Laporan portal Harian Metro mengenai isu pengguna Facebook menghina Nabi Muhammad SAW
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS membuka tiga kertas siasatan terhadap tiga pemilik Facebook berhubung status yang dimuat naik dalam media sosial mereka menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan terbabit dibuka terhadap pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai, Sarkar Tanesan dan Sally Yen.

Beliau berkata, pihaknya menerima 478 laporan berhubung pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai setakat hari ini dan suspek berusia lelaki berusia 68 tahun sudah ditahan 19 Februari lalu kemudian direman tiga hari sehingga kelmarin.

“Bagaimanapun, atas faktor usia dan komplikasi kesihatan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

“Bagi pemilik akaun Facebook Sarkar pula sebanyak 11 laporan polis diterima dan suspek berusia 21 tahun sudah ditangkap pada 21 Februari lalu serta direman sehingga 25 Februari (esok),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi berkata, bagi kes komen jelik oleh pemilik akaun Facebook Sally Yen terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam pihak pendakwa raya mengklasifikasikan kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Ini kerana pemilik akaun tidak dapat dikenal pasti selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pengesahan.

“Setakat ini, polis menerima dua laporan berhubung kes ini dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pemilik Facebook Sally Yen serta pihak yang menularkan semula ‘posting’ berkenaan,” katanya.

Katanya, semua kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berita berkaitan:

Lelaki hina Nabi dibebaskan dengan jaminan polis

Semoga terima pembalasan sewajarnya

Buat laporan polis hina Rasulullah SAW

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 6:36 PM