BINTANGOR 24 FEBRUARI 2019. Keadaan tanah runtuh di Batu 8 Jalan Engkamop Pakan. STR/KHALID LATIP
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


TUAH menyebelahi pemandu kenderaan pacuan empat roda apabila terselamat selepas kenderaan dipandu terjunam ke dalam ‘kawah besar’ di Batu 8, Jalan Engkramop Pakan, Bintangor, awal pagi tadi.

Difahamkan, kewujudan lubang dalam umpama ‘kawah besar’ itu hanya disedari kira-kira jam 4 pagi tadi, berikutan sebahagian struktur jalan runtuh akibat hujan lebat sejak tengah malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.45 pagi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan dan pemantauan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pemandu lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan menghala ke Pakan.

“Mangsa tidak menyedari laluan berkenaan runtuh berikutan keadaan persekitaran gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, tidak diketahui bagaimana mangsa keluar daripada kenderaannya yang terhumban ke lubang berkenaan.

Malah, identitinya juga sedang dikenalpasti dengan bantuan penduduk setempat.

Berikutan insiden runtuhan itu, Nicholas berkata, laluan berkenaan ditutup kepada semua lalu lintas.

“Anggota bertugas turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan, selain sebagai langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pada masa sama, orang ramai diminta mengelak daripada menggunakan laluan berkenaan, sebaliknya menggunakan jalan alternatif dari Julau, Nanga Entabai ke Sengaih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 4:45 PM