Kereta mangsa terbakar selepas bertembung sebuah lagi kereta. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

DUA lelaki melecur di badan apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit kemalangan di Jalan Rim-Bukit Katong dekat Jasin, hari ini.

Kemalangan berlaku pada 8 pagi menyebabkan mangsa, D Satiskumaran, 27, dan D Sathiamurthi, 31, dirawat di Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Jasin dan berada dalam zon merah.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Satiskumaran yang memandu Proton Wira dari arah Chabau ke Rim, bertembung dengan Honda Accord dipandu Mohd Haizan Kandis, 35.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Haizan terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan bertembung dengan kereta mangsa.

“Akibat pertembungan, Proton Wira itu terbakar dan pemandu serta penumpangnya (Sathiamurthi) melecur. Pemandu Honda Accord hanya cedera dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Reduan Hassan berkata, sepasukan 10 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 8.05 pagi.

“Ketika tiba, dua kenderaan sedang terbakar dan seorang mangsa yang melecur sudah dikeluarkan orang awam.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa tersepit dan melecur kira-kira 50 peratus. Dia berjaya dikeluarkan dan diserah kepada petugas kesihatan untuk dihantar ke hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 2:37 PM