MANGSA tersepit kaki kanannya di Kampung Padang Tenggala sebelum diselamatkan bomba. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my

KANAK-KANAK lelaki terpaksa menanggung kesakitan kira-kira 10 minit selepas kaki kanannya tersepit pada basikal di Kampung Padang Tenggala, Temerloh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.20 malam itu mangsa, 9, dikatakan sedang mengayuh basikal sebelum kaki kanannya termasuk ke bahagian sepit udang basikal dan gagal dikeluarkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.22 malam sebelum tiba ke lokasi empat minit kemudian.

“Anggota kita dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin menggunakan playar untuk memotong lidi roda hadapan basikal sebelum kaki kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan.

“Kanak-kanak itu kemudian diberikan rawatan awal oleh anggota kita sebelum dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, Temerloh, hari ini.

Mohd Sani berkata, kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan kelihatan tenang ketika operasi mengeluarkan kakinya dijalankan.

Beliau berkata, operasi tamat pada 9.36 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:38 AM