GAMBAR hiasan
Erika George

POLIS yakin dapat menumpaskan geng pecah rumah yang aktif di daerah Bintulu susulan penahanan lima suspek dalam operasi khas, Ops Pintu, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan.

Selain Kampung Jabai, katanya, serbuan turut dilakukan di Sebauh dan Pasar Lama Bintulu yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian geng berkenaan.

“Hasil serbuan turut membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi, termasuk telefon bimbit, barangan elektronik, set televisyen, sistem pembesar suara dan barangan berharga lain.

“Kesemua suspek juga akan turut disoal siasat berhubung satu kes pecah masuk membabitkan sebuah gereja di Jalan Tanjung Kidurong baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, di Bintulu, hari ini.

Zulkipli berkata, hasil semakan turut mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau ymembabitkan kes curi.

“Kesemua suspek dikenakan reman sehingga 4 Mac ini bagi membantu siasatan, termasuk mengesan saki baki geng pecah rumah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:09 AM