GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


JABATAN Perikanan sentiasa melaksanakan pemantauan halal terhadap ikan dan hasilan ikan secara berkala sejak 2010 bagi mengesan kehadiran DNA Porsin (Porcine ID) ke atas produk perikanan seluruh negara.

Jabatan Perikanan dalam kenyataan berkata, analisa ini dibuat di makmal Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur dan Bintawa, Sarawak membabitkan ikan, makanan ikan dan tepung ikan.

“Melalui pemantauan sepanjang 2016, 2017 dan 2018, sebanyak 846 sampel diambil dan hanya 4.9 peratus sampel sahaja yang dikesan positif mengandungi DNA Porsin iaitu dari makanan ikan.

“Bagi menangani masalah itu, syarikat pembekal makanan ikan berkenaan sudah diambil tindakan serta merta dengan menukarkan ramuan utama (protein) kepada sumber yang halal,” katanya mengulas laporan media berhubung terdapat ikan ternakan yang diberi makanan tidak halal.

Katanya, Akta Makanan Haiwan 2009, secara jelas memperuntukkan di bawah Peraturan Pelabelan yang mengkehendaki setiap pengeluar makanan ternakan untuk melabelkan kandungan ramuan di dalam makanan ternakan yang mereka keluarkan dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan keras.

Justeru, katanya, pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini berhubung terdapat ikan ternakan yang diberikan makanan berasaskan babi.

“Namun, kami percaya kes itu adalah terpencil,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan berharap agar pihak berkaitan tidak membuat dakwaan tanpa disertakan maklumat yang lebih terperinci.

Katanya, tindakan itu boleh mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan pengguna dan boleh menjejaskan aktiviti penternak ikan lain yang menjalankan aktiviti ternakan mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan bersama Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memutuskan isu halal hanyalah dihadkan kepada barangan makanan dan barangan kegunaan peribadi serta tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia sahaja.

Selain itu, katanya, penyelidikan yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung mendapati ikan yang diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan mereka 72 jam setelah melalui proses ‘istihala’ (pengasingan - tidak diberikan makan).

Sehingga kini, katanya, sebanyak 390 penternak ikan dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Pertanian Akuakultur (myGAP-Akuakultur), manakala sebanyak 17 kilang makanan ikan dan 12 stor penyimpanan makanan ikan turut dipersijilkan di bawah skim Pensijilan Kualiti Ikan.

“Kedua-dua skim pensijilan ini menitikberatkan persoalan halal di dalam piawaian pensijilan berkenaan.

“Kegagalan pemohon untuk patuh kepada keperluan halal akan mengakibatkan sijil mereka ditarik balik dan diumumkan kepada pengguna awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:56 PM