ANWAR bersama calon PH Muhammad Aiman Zanali ketika majlis sambutan Cap Goh Mei di Kampung Baru Semenyih, Hulu Langat, malam ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Rizanizam Abdul
Hamidmrizanizam@hmetro.com.my

PROSES rundingan mekanisma untuk menghapuskan kutipan tol sudah diputuskan tiga minggu lalu dan bukannya bertujuan memancing undi rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak nampak pengumuman itu hanya disebabkan untuk meraih undi di Semenyih.

“Saya tengok rancangan itu (rundingan tol), Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) beri maklum dah dalam dua tiga minggu lalu untuk dipersiapkan.

“Saya tak fikir begitu (pancing undi) sebab dah diputuskan (lebih) awal,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Semenyih, Hulu Langat, malam ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti, membabitkan empat lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur.

Hasil kejayaan pengambilalihan itu kelak, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada membabitkan lebuh raya bertol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sebagai ganti, ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan apabila pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu “off-peak” antara 11 malam sehingga 5 pagi apabila penggunaan lebuh raya adalah percuma.

Kenyataan itu menyebut, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Ditanya mengenai pandangan segelintir masyarakat yang beranggapan waktu percuma 11 malam hingga 5 pagi itu tidak banyak membantu pengguna, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ia adalah langkah permulaan.

“Ini langkah awal, ia sangat baik dapat mengurangkan beban,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya lalu berjanji untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:19 PM