GAMBAR hiasan
Agensi

SATU sindiket jenayah membabitkan rakyat China dan Malaysia ditumpaskan selepas kegiatan penyeludupan pekerja asing mereka dikesan, lapor Dailymail UK.

Menurut laporan itu, Australia Border Force (ABF) menyerbu sebuah hartanah di Robinvale di utara Victoria dan menemui 17 individu dalam keadaan bersesak di sebuah rumah 13 Februari lalu.

Remaja lelaki berusia 16 tahun antara individu yang ditemui di sebuah garaj di rumah berkenaan.

Komander Operasi ABF, James Copeman menyifatkan ia satu penemuan yang mengejutkan.

“Kami syaki sindiket berkenaan mengupah orang tengah untuk beroperasi di sektor pertanian dan mengeksploitasi buruh bawah umur serta pekerja haram di kawasan Robinvale,” katanya kepada The Herald Sun.

“Pekerja haram lazimnya berada dalam keadaan berisiko tinggi dan sering dibayar upah yang rendah serta tidak dilayan dengan baik.

“Seramai 17 orang bersesak di dalam sebuah rumah dan garaj membuktikan tanggapan itu,” katanya

Secara keseluruhan, 33 pekerja asing ditemui dalam serbuan itu.

Serbuan berkenaan adalah salah satu siri serbuan dalam Operation Battenrun yang dijalankan ABF bulan ini.

Sementara itu, seorang lelaki berketurunan Cina berusia 50 tahun ditahan di Auburn barat Sydney pada 14 Februari lalu.

Dia disyaki seorang daripada ahli sindiket pekerja haram bergelar jutawan yang dikesan memindahkan AUD23 juta ke akaun pesisir sejak 2007.

Dalam insiden berasingan ABF menyerbu sebuah tempat di Bundoora, Melbourne pada 7 Februari dan di sebuah tapak pembinaan di Greenslopes, Brisbane pada 6 Februari.

Salah satu pengeluar terbesar buah dan sayuran Australian turut dikenakan notis pelanggaran pada 7 Februari lalu.

Tindakan itu susulan maklumat yang diterima dari serbuan ke atas hartanah Euston di New South Wales pada 3 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:07 PM