MOHD Haris (tiga dari kiri) bersalaman dengan jemaah masjid sebaik selesai solat Jumaat di Masjid Al Fattah IPD Penampang, semalam. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


PELBAGAI usaha pencegahan jenayah dilaksanakan polis termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang apabila hadir menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai di Masjid Al Fattah IPD Penampang, semalam menerusi Program Satu Masjid Satu Polis (1M1P).

Program itu dihadiri Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim dan beberapa pegawai polis dengan mengenakan pakaian seragam lengkap.

Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, Mohd Haris bersama pegawainya bersalaman dengan jemaah dan pada masa sama menyampaikan maklumat mengenai aspek keselamatan.

Mohd Haris berkata, program 1M1P adalah antara inisiatif pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengeratkan silaturahim antara polis dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat.

“Menerusi program ini, seorang pegawai polis akan dilantik sebagai pegawai perhubungan masjid untuk memastikan kehadiran polis dapat dirasai.

“Pihak pengurusan masjid atau jemaah dapat menyampaikan aduan atau maklumat berkaitan jenayah terus kepada polis, sekali gus mewujudkan rasa selamat di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja menaikkan imej baik, malah mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat agar sama-sama membanteras jenayah secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 10:57 PM