MUHAMMAD Aiman Zainali. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


CALON Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali tidak kisah dengan dengan sindiran netizen mengenai keterujaannya yang berjanji menyelesaikan masalah penduduk, sehari selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Jurutera muda berusia 30 tahun itu sebaliknya menjadikan sindiran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih bekerja keras bertemu dengan seramai mungkin pengundi menjelang 2 Mac ini.

Menurutnya, ‘kesilapannya’ ketika berucap ketika berkempen di Batu 26, Beranang, Khamis lalu, bukanlah janji kosong semata-matanya, sebaliknya berpunca daripada keterujaannya yang tidak sabar untuk membantu penduduk Semenyih.

“Saya tidak terkesan pun dengan sindiran netizen sebab saya tahu maksud sebenarnya adalah janji saya untuk bekerja bersungguh-sungguh demi penduduk.

“Itulah semangat saya, berkobar-kobar dan tidak sabar mahu menyelesaikan masalah rakyat.

“Apa yang saya maksudkan waktu itu adalah apabila menang kelak, saya tidak perlu tunggu lama untuk turun padang membantu rakyat,” katanya ketika ditemui pada program ramah mesra bersama Penduduk Taman Pelangi, Semenyih, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khamis lalu, Muhammad Aiman atau mesra disapa Aiman dalam ucapannya berjanji akan terus membantu menyelesaikan masalah penduduk sehari selepas memenangi PRK DUN Semenyih 2 Mac ini.

Semalam, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas mengenai janji itu dipetik berkata, Aiman terlepas cakap kerana begitu bersemangat dan ghairah untuk membantu rakyat Semenyih.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:31 PM