PANNIR Salvan (empat dari kiri) bersama anggota TLDM menunjukkan sebahagian hasil tangkapan selepas menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara, Khamis lalu. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


CUBAAN nelayan Vietnam untuk menenggelamkan bot dinaiki bagi menghapuskan bukti aktiviti menangkap ikan di perairan negara gagal selepas ditahan kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kira-kira 21 batu nautika dari Pulau Tioman, Pahang, malam Khamis lalu.

Dalam kejadian 11 malam itu, pasukan peronda TLDM melakukan rondaan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) berhampiran lokasi sebelum mendapati dua bot nelayan terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim V Pannir Salvan, berkata sebaik menyedari kehadiran pasukan peronda TLDM berkenaan, kedua-dua bot nelayan itu kemudiannya cuba membuka injap di bahagian enjin sebagai usaha menenggelamkan bot berkenaan.

“Bagaimanapun, cubaan mereka untuk menghapuskan bukti berjaya dipatahkan sebelum lima awak-awak warga asing itu ditahan.

“Nelayan terbabit menangkap ikan di perairan negara pada waktu malam bagi mengelakkan kehadiran mereka dikesan.

“Hasil siasatan terhadap kedua-dua bot nelayan asing itu mendapati sebanyak 500 kilogram ikan termasuk yu, udang karang dan ketam sudah dinaikkan mereka.

“Selain itu bot terbabit turut dilengkapi dengan beberapa akuarium besar bagi membolehkan ikan ditangkap mereka dalam keadaan segar untuk dijual dengan harga tinggi di negara mereka,” katanya pada sidang media di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman, hari ini.

Beliau berkata, awak-awak dan tekong berusia 19 hingga 55 tahun diserahkan kepada APMM dan bot mereka dibawa masuk ke Jeti Kemaman, malam tadi untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara manakala semua tekong dan awak-awak tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini.

“Kami menganggarkan hasil laut dan harta dirampas termasuk bot bernilai RM2 juta dan siasatan dilakukan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:51 PM