GAMBAR hiasan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki dilaporkan pengsan sebelum meninggal dunia ketika mendaki Gunung Besar Hantu, Jelebu, tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, Rashid Harun, 52 meninggal dunia ketika sepasukan anggotanya membawa turun mangsa pada 7.30 malam ini.

Katanya, terdahulu lelaki berasal dari Pangsapuri Putra Indah, Seri Kembangan, Selangor memulakan pendakian pada awal pagi hari ini bersama 13 rakannya.

“Sebaik tiba di puncak gunung setinggi 1, 200 meter itu, mangsa dimaklumkan pengsan.

“Pihak kami menerima panggilan pada 1.57 tengah hari dan mengerahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya yang tiba di kaki gunung pada 2.40 petang memulakan pendakian sebelum tiba di puncak gunung tiga jam kemudian.

“Sewaktu membawa turun mangsa, lelaki berkenaan meninggal dunia pada 7.30 malam.

“Jenazah mangsa ketika ini dalam perjalanan dibawa turun untuk diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya berusaha melakukan yang terbaik untuk membawa turun mangsa, namun jarak pendakian yang jauh dan berliku menyukarkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:16 PM