GAMBAR hiasan
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


TIGA orang Myanmar daripada etnik Rohingya termasuk wanita, ditahan kerana disyaki terbabit kes penculikan seorang wanita Indonesia di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Rabu lalu.

Mereka ditahan reman sehingga Sabtu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menahan suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu di dua lokasi berasingan di Kuala Ketil, pada Khamis.

“Sebelum itu, seorang lelaki Myanmar membuat laporan polis mendakwa isterinya dikenali Yesi berusia 20-an dari Indonesia, dipercayai dilarikan tiga lelaki dari rumah sewa mereka di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.

“Kejadian didakwa berlaku 3.30 pagi dan susulan itu siasatan dijalankan sebelum anggota menyerbu hadapan sebuah kedai makan di Merbau Pulas, Jalan Kuala Ketil dan menangkap seorang lelaki warga Myanmar berketurunan Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Pantai Chichar, Kuala Ketil kira-kira lima kilometer dari lokasi serbuan pertama dan mangsa diselamatkan.

“Seorang wanita Rohingya ditahan dan soal siasat ke atas mereka membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga senegara mereka yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Kami turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Nokia bersama simkad serta kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.

Katanya, mangsa dalam keadaan baik dan tiada kecederaan fizikal. Motif kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 7:47 PM