Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


CUBAAN seorang pemandu lori memecut kenderaannya sejauh 70 kilometer (km) bagi mengelak pihak berkuasa, gagal selepas berjaya dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Sebelum itu, lori tiga tan dengan muatan 11,200 karton rokok putih tidak bercukai yang bernilai RM3.1 juta berkenaan dikesan di sekitar pekan Kuala Selangor pada 11.45 malam semalam.

PPM turut menahan pemandu lori itu yang berusia 32 tahun untuk siasatan lanjut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal berkata, pihaknya menemui pemandu lori itu di Kuala Selangor dan mengarahkan dia memberhentikan lori untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, dia enggan dan terus memecut kenderaannya, memaksa pihaknya mengejar sejauh 70 kilometer sebelum ditahan.

“Anggota menahan pemandu lori di Bukit Tagar dan pemeriksaan ke atas lori putih itu menemui 224 kotak bersamaan 11,200 karton rokok putih seludup.

“Antaranya, Johd D-Blend Merah sebanyak 6,500 karton, John D-Blend Merah Jambu (4,200 karton) dan Johd D-Blend Putih (500 karton),” katanya dalam sidang media di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, lori berkenaan dan dua telefon bimbit turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3,252,155.20.

Katanya, siasatan awal mendapati rokok dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran sekitar selatan tanah air.

“Nombor pendaftaran lori pula didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Semenyih, namun ia tidak sama dengan nombor yang terdapat pada cukai jalan kenderaan berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan lori itu kenderaan curi, namun siasatan lanjut terus dijalankan termasuk kenal pasti sindiket yang terbabit dalam penyeludupan itu,” katanya yang memberitahu semua rampasan dihantar ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sehingga kini, lima kes rampasan di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan membabitkan arak, rokok dan kenderaan berjumlah RM3,526,944.12.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu (RM237,839) dengan tiga kes dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 5:18 PM
MOHD Khairuddin (tiga kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar