PERBUATAN suspek yang sempat dirakam pekerja syarikat ketika sedang mencuri besi. FOTO ihsan polis
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 32 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian curi besi di sebuah tapak projek di Taman Makmur, Lunas di Kulim, semalam.

Suspek ditahan di hadapan sebuah hotel di Lunas pada 2.15 pagi tadi dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 9 pagi itu disedari oleh pekerja syarikat yang ketika itu berada di tapak projek berkenaan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pekerja itu mendapati seorang lelaki menaiki motosikal sedang mencuri besi milik syarikat di kawasan tapak projek.

“Pekerja berkenaan sempat merakam perlakuan suspek sebelum ke balai berhampiran untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menurut pekerja terbabit kejadian itu adalah kali ketiga berlaku di kawasan tapak projek berkenaan.

Ahmad Nasir berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 12:00 PM