Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


SEORANG mangsa disahkan maut dalam kejadian kebakaran dua lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Slim River hari ini.

Kemalangan membabitkan lori membawa muatan barangan runcit dan lori tangki muatan diesel itu mengakibatkan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi operasi pemadaman kebakaran dijalankan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku selepas lori tangki berkenaan melanggar belakang sebuah lori di lorong kecemasan.

"Siasatan awal mendapati seorang maut dalam kemalangan itu dan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi membolehkan pihak bomba mengawal dan memadam kebakaran.

"Pegawai penyiasat sudah berada di lokasi kejadian dan laporan penuh akan menyusul," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati mayat sudah dibawa ke Hospital Slim River oleh sepasukan polis jam 10.15 pagi tadi.

Kemalangan itu menyebabkan lebuh raya arah utara sesak terutama di susur keluar plaza Tol Slim River selama beberapa jam apabila pengguna keluar untuk menggunakan Jalan Persekutuan bagi mengelak kesesakan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, maklumat awal yang diperoleh seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian namun identitinya belum dikenal pasti.

Berita berkaitan

Dua lori terbakar dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:51 AM
SEORANG disahkan maut dalam kemalangan membabitkan dua lori. FOTO ihsan bomba