KESESAKAN dari arah Slim River ke Sungkai susulan kemalangan itu. FOTO Twitter LLM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


DUA lori termasuk sebuah lori tangki yang terbabit kemalangan di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River terbakar dan dikhuatiri terdapat seorang mangsa dalam kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 8.51 pagi tadi dan operasi pemadaman dan menyelamat sedang giat dijalankan.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati dua lori terbabit kemalangan dan terbakar. Terdapat seorang mangsa berdasarkan maklumat awal.

"Operasi pemadaman dan menyelamat sedang dijalankan membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dengan dibantu Balai Tapah dan Bidor," katanya.

Sementara itu, laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan semua lorong di laluan terbabit terhalang dan trafik terhenti dari arah Slim River ke Sungkai susulan kemalangan itu.

Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan keluar di Plaza Tol Slim River.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 10:07 AM