Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


BEBERAPA kawasan di Langkawi mengalami masalah gangguan bekalan air sejak semalam, berikutan kekurangan air mentah dari sungai untuk dibekalkan kepada dua loji rawatan air.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi syarikat itu.

“Gangguan bekalan air yang berlaku adalah disebabkan berlakunya pengurangan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Padang Saga Dua dan Padang Saga Tiga.

"Pengurangan operasi disebabkan kekurangan sumber air mentah dari sungai untuk dibekalkan kepada kedua-dua LRA ini," kata kenyataan itu.

Menurut SADA, masa gangguan bekalan air bermula semalam bergantung pada jumlah sumber air mentah yang mampu dibekalkan kepada LRA untuk diproses ke tahap maksimum.

"Hampir keseluruhan daerah Langkawi dijangka terjejas jika keadaan ini berterusan.

"Penghantaran bekalan air melalui lori tangki mula digerakkan secara agresif oleh pihak Taliworks Langkawi Sdn Bhd (TLSB)," katanya.

SADA berkata, langkah itu bagi membantu mengurangkan serta meminimumkan kesan gangguan kepada pengguna yang terbabit.

Sehubungan itu, sebarang bantuan atau maklumat lanjut pengguna boleh terus menghubungi TLSB di talian 04-9663028 dan Pusat Informasi Syarikat Air Darul Aman di talian 1-300-88-0017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:19 AM