KEADAAN Toyota Land Cruiser yang terbalik. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA pelajar lelaki maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dinaiki mereka dalam kemalangan di Jalan Pantai Pimping, Membakut, Beaufort, semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, Joelary Juni @ Kulin, 16, dan Mohd Fadzil Loin @ Mohd Zulkifli, 16, yang duduk di bahagian penumpang belakang Toyota Land Cruiser meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kenderaan yang dinaiki empat lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Palu-Palu menuju ke Membakut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik beberapa kali.

“Dua pelajar lelaki yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah,” katanya hari ini.

Azmir berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang hadapan masing-masing berusia 20 dan 21 hanya cedera ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:07 AM