TIGA lelaki yang ditahan tidak memiliki dokumen untuk simpan burung dilindungi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Sabran Md Sani
am@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Mahu kaya cepat dengan jual burung Malaysia! Itu kegiatan dilakukan sindiket pemburu haram dibantu penyeludup warga tempatan yang aktif menyeludup keluar pelbagai spesies burung dilindungi terutama Murai Batu.

Suspek dikesan mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebulan berikutan setiap burung mampu dijual mencecah harga sehingga RM800.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar hasil penahanan tiga lelaki tempatan oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan PERHILITAN Johor di Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, dalam operasi jam 8.45 pagi itu, sebuah premis diserbu sebelum pegawai PERHILITAN menemui 310 burung Murai Batu, lapan burung San Wu dan tiga ayam hutan.

“Turut disita sebuah kenderaan model Perodua Bezza yang digunakan untuk mengangkut semua bekas berisi burung itu.

“Siasatan mendapati tiga suspek berusia 30-an hingga 40-an itu tidak memiliki dokumen yang sah daripada jabatan untuk menyimpan semua burung itu.

Beliau percaya semua burung itu mahu diseludup keluar ke Indonesia menggunakan pengangkutan laut berdasarkan soal siasat dilakukan.

“Ini adalah tangkapan kedua selepas pihak PERHILITAN turut mematahkan cubaan menyeludup 350 burung Hua Mei dan 220 burung Sun Wu yang cuba diseludup ke Indonesia pada Sabtu lalu.

“Semua burung itu ditemui disembunyikan di dalam sebuah pacuan empat roda yang diletakkan di Jalan Sri Muar Selatan, Kampung Sri Muar, Johor.

“Burung ini dianggap berharga berikutan dari jenis burung kicau yang dijadikan burung peliharaan. Berdasarkan risikan, seekor burung Hua Mei berharga antara RM300 hingga RM400.

“Manakala burung San Wu dijual di pasaran gelap antara RM200 hingga RM250 seekor. Seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki cuba menyeludup burung itu ditahan,” katanya.

Manakala pada 16 Januari lalu, sebanyak 310 burung Murai yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan lorong tikus berjaya digagalkan pihak tentera di sempadan Malaysia dan Indonesia di Tebedu, Sarawak.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia memaklumkan tiga lelaki yang membawa sangkar semua burung itu ditahan pada jam 4 pagi di kawasan berhampiran Kompleks ICQS Tebedu dan Inland Port Tebedu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 7:51 AM