MOHD Ajib (tiga dari kiri) mengisi beras dari ATM beras untuk diagihkan kepada asnaf di Masjid Al Akram Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Supian Ahmad.
Yusmizal Dolah Aling dan Mohd Sharul Nazri Mohd Zulkifli Chow
am@hmetro.com.my


INISIATIF Masjid Al Akram Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur menyediakan mesin pengeluaran beras automatik nyata memberi harapan baru kepada golongan memerlukan.

Bagi penerima, mereka tidak pernah menyangka bantuan itu dipermudahkan lagi dengan mesin berkenaan yang hanya perlu disentuh untuk mendapatkan dua kilogram beras.

Warga emas, Rahimah Adlan, 72, berkata, keadaan kesihatannya membataskan pergerakan untuk ke sana ke mari dan dengan adanya mesin itu, dia tidak perlu bersusah payah lagi.

“Saya berasa amat gembira dan sangat bersyukur atas bantuan diberikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesin ATM Beras yang disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail, malam ini.

Dia kini menyara hidupnya dengan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan bagi kehidupannya.

“Saya perlu jimat berbelanja kerana perlu membayar bil api dan air.

“Anak semuanya sudah berkeluarga dan mereka ada komitmen sendiri," katanya.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan inisiatif masjid berkenaan bersama JAWI menyediakan mesin ATM berkenaan untuk kemudahan golongan memerlukan terutama di kariah itu.

Ia mesin pertama seumpamanya di negara ini yang mudah dikendalikan serta mesra pengguna.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, dengan adanya mesin berkenaan, ia secara tidak langsung akan mengimarahkan masjid kerana penerima iaitu anak kariah dipilih berdasarkan kriteria tertentu akan datang ke situ untuk menerima bantuan dan menunaikan solat.

Katanya, bertepatan dengan konsep Masjid RAHMAH iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Alami dan Hormat yang diperkenalkan, pihaknya akan membentangkan perkara itu dalam Persidangan Pengerusi-Pengerusi Masjid Wilayah Persekutuan pada 2 hingga 4 Mac ini.

Beliau berkata, inovasi baru itu kemungkinan diperluaskan ke masjid lain di Wilayah Persekutuan.

“Kami mahu memperkukuh hubungan antara masjid dengan jemaah di sesuatu kariah. Sebenarnya masjid mempunyai peranan untuk menjadi pusat sehenti kepada masyarakat dan menawarkan pelbagai kemudahan serta program dan aktiviti bersama masyarakat.

“Saya mahu melihat masjid ini disuburkan dengan pendekatan mesra ahli kariah. Insya-Allah kami akan tampil dengan pengisian lebih bermutu.

“JAWI mengambil pendekatan untuk menguruskan masjid mengikut kerangka Masjid RAHMAH dengan menggunakan pendekatan Maqasid Syariah untuk melahirkan masjid di Wilayah Persekutuan sebagai model terbaik," katanya.

Berita berkaitan

'Derma boleh, ambil beras boleh [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:53 PM