TUNKU Azizah menyampaikan hadiah pada pemenang tempat pertama Choral Speaking kepada Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bertitah, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) banyak mendidik dan mengajar baginda menjadi pemimpin.

Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja PPPM bertitah, penyertaan ahli PPPM juga bakal melahirkan Perdana Menteri.

“Saya menyertai PPPM sejak 1969 dan sudah berkhidmat dengan empat isteri Perdana Menteri (yang biasanya dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu).

“Persatuan Pandu Puteri banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Melaluinya saya buat ramai kawan di seluruh dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 PPPM Peringkat Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.

Turut berangkat, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk S Jeyadhevi.

Titah baginda, mana-mana individu yang menjadi ahli PPPM mempunyai masa depan yang cerah.

“Bagi saya PPPM adalah satu keluarga yang besar dan mereka (ahli) seperti anak dan adik saya.

“Saya akan terus berkhidmat untuk membawa PPPM ke satu tahap yang dibanggakan di seluruh negara,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:16 PM