PELAJAR MATAF di Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights, Senawang, Seremban mendalami ilmu agama. (Gambar kecil) Mohd Asna. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


MASJID Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights, Senawang, mengambil inisiatif menubuhkan pusat tahfiz sejak tahun lalu bagi melahirkan pemimpin Islam celik al-Quran.

Pengerusinya, Mohd Asna Amin berkata, masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadat semata-mata, sebaliknya dipelbagaikan aktiviti dalam melahirkan cendekiawan Islam.

Katanya, pihaknya menubuhkan Madrasah Tahfiz Al Fath (MATAF) di masjid itu melalui sumbangan orang ramai, sedekah, infaq dan pemberian pihak korporat.

“Alhamdulillah, kami menerima sumbangan mingguan serta bulanan melalui solat Jumaat.

“Wang tidak disimpan dalam masjid semata-mata tetapi mempelbagaikan aktiviti bagi tujuan agama,” katanya.

Ahli korporat itu berkata, antara dilakukan adalah menubuhkan pusat tahfiz terbabit, membiayai kos operasi, pengurusan pendidikan, jemputan penceramah selain menyediakan makanan bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata, pusat tahfiz itu memiliki 50 pelajar yang mendalami ilmu fardu ain.

“Kami komited memastikan remaja berusia 12 hingga 16 tahun menghafal al-Quran untuk dilahirkan pemimpin mantap didikan agama.

“Sesiapa saja boleh menuntut di sini dan disediakan tempat tinggal serta makanan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan persiapan untuk pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian diploma, ijazah dan peringkat lebih tinggi.

Katanya, terdapat pelajar terbabit yang sebelum ini remaja nakal dan pihaknya mahu membentuk akhlak mereka.

“Usaha ini untuk melahirkan pendakwah, guru agama, imam masjid dan pekerja profesional.

“Ibu bapa yang menghantar anak mereka di sini dikenakan yuran bulanan RM300 dan mereka boleh menghubungi talian 013-666 5135,” katanya.

Katanya, masjid itu sebelum ini hanya surau kecil sebelum dinaiktaraf pada 2017 dan kini boleh menempatkan 1,500 jemaah.

Beliau bersyukur kerana sudah menerima infaq berjumlah RM1 juta dan akan merancang pelbagai aktiviti agama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:15 PM