MOHD Zani menunjukkan antara peralatan komputer dirampas. (Gambar Kecil) Antara pekerja pusat operasi judi yang ditahan. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SERBUAN di dua unit kediaman di sebuah kondominium di The Strand, Kota Damansara, hari ini membongkar sindiket judi dalam talian yang beroperasi sejak sebulan lalu.

Sindiket itu dipercayai menyewa unit kediaman berkenaan untuk dijadikan pusat operasi.

Serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 4.30 petang itu turut menahan 15 pekerja, iaitu 14 lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu mengendalikan wang pertaruhan kaki judi mencecah RM80,000 setiap hari.

“Dalam operasi hari ini, polis menyerbu dua pusat operasi sindiket berkenaan yang terletak di tingkat 18 dan 36 kondominium terbabit.

“Di tingkat 18 unit, polis menahan sembilan pekerja, manakala di tingkat 36, enam pekerja ditahan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Mohd Zani berkata, hasil siasatan mendapati kesemua pekerja dibayar gaji RM3,000 sebulan.

Katanya, sindiket berkenaan beroperasi 24 jam dalam dua syif berbeza.

“Oleh kerana sindiket beroperasi selama 24 jam, kesemua pekerja turut tinggal dan tidur di pusat operasi judi itu.

“Mereka ditugaskan untuk mempromosi serta mengendalikan urusan wang pertaruhan kaki judi dengan pelanggan menggunakan aplikasi Wechat dan Whatsapp,” katanya.

Mohd Zani berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 21 unit telefon bimbit, 16 unit komputer dan modem.

“Polis kini sedang mengesan pemilik kondominium itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:37 PM