MOHD Azis (lima dari kiri) bersama Zulkifli (tiga dari kiri) ketika menyertai kayuhan ‘Fun Ride Against Drugs’ pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, malam ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


DIANGGARKAN 3.2 juta keluarga di negara ini tinggal di kawasan berisiko tinggi terbabit dalam penyalahgunaan dadah berikutan elemen persekitaran kehidupan tidak kondusif.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, implikasi penyalahgunaan dadah cukup besar kepada negara kerana akan kehilangan tenaga kerja produktif dalam memajukan negara.

Beliau berkata, selepas 36 tahun, trend penggunaan dadah berubah daripada dadah berasaskan tumbuhan seperti ganja dan heroin, kini beralih kepada dadah sintetik seperti syabu dan ekstasi serta pil psikotropik.

“Kesan mudaratnya lebih berbahaya daripada dadah organik kerana dadah jenis sintetik ini mempengaruhi tingkah laku kepada pengguna dan penagih dadah yang menggunakannya.

“Jika dilihat dalam laporan media pada masa kini, sebahagian besar jenayah ganas berlaku di Malaysia seperti membunuh berpunca daripada pengambilan dadah,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, malam ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Tema Bulan Antidadah Kebangsaan pada tahun ini ialah, ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ yang menekankan peranan dan komitmen bagi menggerakkan aktiviti pencegahan dadah di semua peringkat komuniti.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyertai dan menyempurnakan pelepasan 2,500 peserta kayuhan basikal ‘Fun Ride Against Drugs’ yang membawa mesej pengamalan budaya hidup sihat seterusnya membina ketahanan diri dalam menolak budaya negatif.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, peningkatan penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru (NPS) adalah ancaman utama kepada masalah penagihan dadah pada masa kini.

Beliau berkata, sehingga Disember 2017, kemunculan NPS dilaporkan di 111 negara.

“Pada 2009, hanya 340 jenis NPS ditemui. Jumlah ini meningkat kepada 803 jenis NPS pada 2017 iaitu peningkatan sebanyak 136 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dari Januari hingga Disember tahun lalu, dadah jenis Methamphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah jenis dadah paling banyak disalah guna diikuti dadah jenis heroin.

Katanya, nilai rampasan pada tahun lalu adalah sebanyak RM516.3 juta dan ia meningkat sekali ganda berbanding 2017 iaitu RM292.2 juta.

Mengulas mengenai Bulan Antidadah Kebangsaan 2019, Mohd Azis berkata, beliau berharap ia dapat dirasai seluruh masyarakat menerusi pembabitan pelbagai aktiviti dilaksanakan.

“Diharap aktiviti ini dilaksanakan berterusan setiap tahun. Sempena pelancaran ini, marilah kita perkukuhkan tekad dan azam memartabatkan agama, bangsa dan negara untuk membanteras masalah dadah habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:21 PM