JURAGAN bot ditahan menerusi Op Landai Khas selepas disyaki cuba menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran. FOTO Ihsan PPM.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


TINDAKAN mencurigakan sebuah bot pancing membawa sembilan tong mengandungi 445 liter petrol, akhirnya membongkar kegiatan penyeludupan bahan api itu ketika serbuan di Jeti Angkasa Baru, Kudat, semalam.

Dalam Op Landai Khas jam 10.40 malam itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Sabah berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar petrol bersubsidi ke negara jiran.

Ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan jenis pancing yang berlabuh di jeti berkenaan, PPM mengesan sembilan tong berisi 445 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati bot berkenaan diketuai juragan lelaki berusia 40 tahun yang juga pemegang kad IMM-13.

Katanya, juragan bot gagal menunjukkan dokumen dan permit kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan berkenaan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran.

“Nilai keseluruhan rampasan minyak petrol dan bot dianggarkan berjumlah RM70,445,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kudat dan kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohamad Pajeri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan barang kawalan supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Katanya, tindakan berkaitan penyeludupan barang kawalan perlu diperhebatkan dalam usaha memastikan bekalan di negeri ini sentiasa mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 9:28 PM